Stesen Radio FM93 Vientiane menyambut ulang tahun
kelimanya pada tahun ini. Stesen radio itu antara yang pertama
ditubuhkan oleh Radio Antarabangsa China (CRI) di bandar-bandar di
rantau Asia. Majlis sambutan ulang tahun ke-5 Stesen Radio FM93 pagi
tadi mencatat sejarah dengan kehadiran Presiden Laos, Choummaly
Sayasone .
Stesen Radio FM93 Vientiane beroperasi secara rasmi pada 19 November tahun 2006. Upacara pelancarannya turut disaksikan oleh pemimpin kedua-dua negara, iaitu Presiden China, Hu Jintao dan Presiden Laos, Choummaly Sayasone.
Choummaly Sayasone yang juga salah seorang pendengar siaran radio CRI berkata: "CRI kini semakin popular dalam kalangan rakyat Laos dengan beroperasinya Stesen Radio FM93 Vientiane. Dalam usaha menyiarkan program untuk pendengar Laos, CRI sentiasa memberikan keutamaan untuk menerajui hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara. Boleh dikatakan bahawa CRI melaksanakan misi penting dalam meningkatkan persefahaman antara rakyat China dengan rakyat di pelbagai negara."
Menurut Choummaly Sayasone, program Stesen Radio FM93 Vientiane amat diminati oleh rakyat Laos, khususnya golongan muda. Stesen radio itu membantu rakyat Laos memperoleh maklumat tentang China, dan merupakan contoh yang baik dalam kerjasama media kedua-dua negara.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar